KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meminda Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi memastikan setiap syor yang dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dilaksanakan sehingga masalah yang menjadi asas kepada sesuatu siasatan benar-benar diselesaikan.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata ketika ini cabaran negara bukan lagi sekadar mencari kebenaran melalui RCI, sebaliknya memastikan penemuan dan syor yang dibuat diterjemahkan kepada reformasi sistem tatakelola secara konsisten serta berakauntabiliti.
Katanya, pengalaman negara melalui RCI Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah, RCI kematian Teoh Beng Hock dan terbaharu RCI Tabung Haji menunjukkan keperluan untuk memperkukuh mekanisme pelaksanaan syor RCI.
“Laporan RCI Tabung Haji yang siap disediakan pada 2023 hanya dibentangkan kepada Parlimen beberapa tahun kemudian kerana tiada kewajipan undang-undang yang jelas mengenai tempoh pembentangan laporan RCI kepada Dewan.
“Pengalaman ini menunjukkan sudah tiba masanya negara memperkukuh sistem berkenaan,” katanya ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji pada Sidang Khas Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata setiap RCI tidak seharusnya dianggap selesai sebaik sahaja laporan diserahkan kepada kerajaan.
Sebaliknya, katanya, kerajaan perlu menggubal Rang Undang-Undang Suruhanjaya Siasatan (Pelaksanaan Syor dan Akauntabiliti) (Pindaan) bagi mewujudkan mekanisme pemantauan yang jelas terhadap pelaksanaan semua syor RCI.
Beliau mencadangkan setiap laporan RCI disusuli Pelan Reformasi Nasional yang memperincikan tindakan susulan, kementerian peneraju, garis masa pelaksanaan, keperluan kewangan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap syor.
“Pelan Reformasi Nasional ini juga wajib dibentangkan kepada Parlimen supaya pelaksanaannya dapat dipantau secara berkala.
“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan perlu diberi mandat memantau pelaksanaan syor RCI serta memanggil kementerian dan agensi bertanggungjawab untuk memberi penjelasan,” katanya.
Menurutnya, pengalaman RCI PATI di Sabah turut menunjukkan bahawa kewujudan sesuatu sekretariat atau pelaksanaan mesyuarat semata-mata tidak memadai jika isu yang hendak ditangani masih berlarutan.
“Merujuk pengalaman RCI Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah, Sekretariat Tetap yang disyorkan hanya bermesyuarat 13 kali dalam tempoh lebih sedekad, sedangkan isu pendatang tanpa izin masih menjadi cabaran besar Sabah.
“Ini membuktikan reformasi institusi perlu diukur berdasarkan masalah yang benar-benar diselesaikan, bukan aktiviti yang dijalankan,” katanya.
Madius berkata kerajaan perlu memastikan setiap RCI selepas ini mempunyai mekanisme susulan yang jelas supaya penemuan dan syornya tidak sekadar berakhir sebagai laporan.
“Marilah kita memastikan setiap Suruhanjaya Siasatan Diraja selepas ini bukan sahaja berjaya mencari kebenaran, tetapi juga berjaya melaksanakan kebenaran sehingga masalah negara benar-benar diselesaikan,” katanya.- Info X