Search

Dalang sindiket ‘bomoh’ didakwa di mahkamah

August 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua wanita, termasuk seorang warga China yang dikaitkan dengan sindiket ‘bomoh’ dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Jumaat atas tiga pertuduhan menipu tiga wanita lain menerusi khidmat rawatan tradisional.

Tertuduh, Hee Nyin Fung, 48 bersama seorang warga China, Li Li, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas masing-masing dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal, manakala satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Monica Linsua.

Mereka didakwa terbabit dalam satu konspirasi jenayah dengan melakukan kesalahan undang-undang di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu menipu tiga wanita tempatan.

Bagi pertuduhan pertama, Hee yang juga seorang ahli perniagaan dan Li yang juga seorang pengarah syarikat, didakwa bersekongkol menipu seorang wanita berumur 51 tahun di Pasar Besar Kota Kinabalu pada kira-kira 7.30 pagi, 4 Februari lalu.

Pertuduhan kedua pula membabitkan mangsa seorang wanita berumur 69 tahun di Tamu Ahad Jalan Gaya, di sini, pada kira-kira 11.30 pagi, 19 Julai lalu.

Seterusnya, pertuduhan ketiga membabitkan mangsa seorang wanita di Pasar Pekan Manggatal, di sini, pada kira-kira jam 8 pagi, 3 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua mereka dibuat mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan untuk pengurusan kes pra perbicaraan dan membenarkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan RM2,000 sebagai deposit bagi setiap pertuduhan serta dua penjamin tempatan.

Kedua-dua tertuduh turut diperintah untuk melapor diri di balai polis terdekat sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak berhubung, berkomunikasi atau mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadzri Azham Zainudin dan Nurul Shaferrah Mad Iskim, masing-masing di hadapan Hakim Jaini dan Monica.

Di pihak tertuduh, Hee diwakili peguam Batholomew Jingulam, manakala peguam Muhamad Amirul Amin mewakili Li.

Pada Khamis, polis menumpaskan satu sindiket penipuan ‘bomoh’ yang menyebabkan kerugian kira-kira RM600,000 menerusi tawaran khidmat menilik nasib dan ritual membuang nasib buruk.

Seramai 12 individu, termasuk tujuh warga China ditangkap menerusi beberapa serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Keningau and Kota Belud.

Sindiket itu yang dikenal pasti aktif sejak awal tahun ini menggunakan modus operandi mendekati mangsa dan menawarkan ubat tradisional, rawatan penyakit atau ritual keagamaan untuk membuang sial atau nasib buruk.

Mangsa kemudian dipujuk menyerahkan wang tunai atau barang kemas, kononnya untuk sembahyang, ritual atau pemberkatan sebelum wang dan barang kemas mangsa dibawa lari atau ditukar dengan barangan lain. – Info X