Search

Pondok hutan bakau jadi stor rokok seludup

August 14, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua pondok di kawasan hutan bakau dipercayai dijadikan stor sementara menyimpan rokok tidak bercukai terbongkar dalam operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di Kampung Batu 2, di sini.

Dalam dua operasi berasingan semalam dan awal pagi hari ini, PPM turut merampas minyak masak bersubsidi serta sebuah kenderaan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM226,550.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, dalam operasi pertama kira-kira jam 7.10 malam semalam, pasukannya menyerbu dua pondok tidak bernombor di kawasan hutan bakau berkenaan hasil maklumat dan risikan.

Katanya, pemeriksaan menemukan sejumlah bungkusan disimpan di dalam kedua-dua pondok yang dipercayai dijadikan stor sementara bagi mengelak kegiatan berkenaan dikesan pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 850 karton rokok putih tidak bercukai jenama Astro Merah yang dipercayai diseludup masuk untuk diedarkan di pasaran tempatan.

“Keseluruhan rampasan rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM204,000 dan semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya kini mempergiatkan usaha mengesan pembekal dan penjual yang terbabit bagi membanteras kegiatan berkenaan secara menyeluruh.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Dalam operasi kedua kira-kira jam 2.20 pagi hari ini, PPM yang menjalankan risikan dan pemantauan di Kampung Kombo, Jalan Leila, mengesan sebuah kenderaan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 1,020 paket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap satu, manakala seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Turut dirampas sebuah Isuzu Trooper yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan dengan keseluruhan rampasan bagi kes kedua dianggarkan bernilai RM22,550,” katanya.

Beliau berkata, kes kedua disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, kejayaan kedua-dua operasi itu menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM226,550.

Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempertingkatkan risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan khususnya di Pantai Timur Sabah bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta ketirisan barangan kawalan.

“Kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan amat dihargai bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan,” katanya. – Info X