Search

Juruelektrik maut terkena renjatan elektrik

August 15, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang juruelektrik maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pendawaian di Taman Kinabutan Ria, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 60-an ditemukan tertiarap di atas tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 petang sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi.

“Pasukan tiba pada jam 6.25 petang dan mendapati seorang lelaki tertiarap di atas tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukan bomba kemudian meminta bantuan Sabah Electricity (SE) untuk memotong bekalan elektrik di kawasan kejadian sebelum mangsa diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 7.42 malam,” katanya. – Info X