Search

Khairul Shah tekad beri khidmat terbaik di Kota Belud

August 18, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Ketua Polis Daerah Kota Belud yang baharu, Superintendan Khairul Shah Peri bertekad memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat selepas diberi kepercayaan menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Khairul Shah dinaikkan pangkat daripada Deputi Superintendan (DSP) kepada Superintendan dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Belud yang disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Berbekalkan pengalaman luas dalam bidang siasatan jenayah, Khairul Shah berkata, antara keutamaannya adalah memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan pencegahan jenayah di daerah itu sentiasa berada pada tahap terbaik.

Katanya, perhatian akan diberikan terhadap usaha membanteras jenayah konvensional, jenayah komersial, penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga, jenayah terhadap kanak-kanak serta pelbagai ancaman yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

Pada masa sama, beliau mahu pasukan polis bukan sekadar bertindak apabila berlaku jenayah, sebaliknya sentiasa dekat dengan masyarakat, mudah didekati dan prihatin terhadap permasalahan rakyat.

Menurutnya, seluruh warga IPD Kota Belud juga perlu mengamalkan prinsip tegas tetapi berhemah, profesional tetapi mesra serta berintegriti dalam setiap tindakan.

“Saya mahu kita bekerja sebagai satu pasukan. Jangan ada jurang antara pegawai dan anggota serta jangan ada budaya bekerja secara bersendirian kerana kita saling memerlukan dan melengkapi.

“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah masyarakat dalam satu hari, tetapi kita boleh memastikan setiap aduan didengar, setiap laporan diambil serius dan setiap tindakan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Khairul Shah turut menyeru masyarakat menjadikan polis sebagai rakan dan tidak takut tampil menyalurkan maklumat bagi membantu usaha mencegah serta membanteras jenayah.

Beliau berkata, konsep ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan, komunikasi dan hubungan erat antara kedua-dua pihak.

“Saya tidak menjanjikan kesempurnaan, tetapi saya berjanji memberikan komitmen terbaik, mendengar suara masyarakat, berlaku adil dalam tindakan dan melaksanakan amanah ini dengan penuh kejujuran,” katanya. – Info X