KOTA KINABALU: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, 73, diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, hari ini.
Menurut laporan FMT, perkembangan itu menjadikan Malanjum antara tokoh kehakiman negara yang kembali menyertai profesion guaman selepas menamatkan perkhidmatan dalam badan kehakiman.
Malanjum pernah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara kesembilan pada Julai 2018 dan memegang jawatan berkenaan sehingga persaraannya pada April 2019.
Beliau sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak bermula 2006, selain pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Malanjum yang berasal dari Sabah turut mencipta sejarah sebagai rakyat kelahiran negeri itu yang pertama dilantik ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, sebelum menjadi Ketua Hakim Negara.
Dalam perkembangan kerjaya guamannya, beliau pernah diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada 1977.
Beliau juga diterima masuk sebagai peguam bela di Sarawak pada 2020 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan petisyennya untuk didaftarkan sebagai peguam di negeri berkenaan.
Malanjum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of London pada 1975 sebelum dipanggil ke Badan Peguam England dan Wales pada 1976.
Beliau kemudian memulakan kerjaya dalam perkhidmatan perundangan Sabah sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum menyertai amalan guaman persendirian.
Pada 1992, Malanjum menyertai perkhidmatan kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman sebelum dinaikkan ke jawatan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan seterusnya Hakim Mahkamah Persekutuan.
Pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara pada 2018 turut mencatat sejarah sebagai tokoh pertama dari Sabah yang memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia.-Info X