Search

Polis siasat video kanak-kanak dikerumuni di taman permainan

August 18, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikerumuni beberapa individu dalam kejadian di sebuah taman permainan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 Ogos lalu sebelum siasatan dijalankan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan membabitkan mangsa bersama beberapa individu lain berusia antara 13 hingga 18 tahun.

“Siasatan mendapati berlaku perselisihan selepas mangsa dipercayai cuba menghisap puntung rokok walaupun sudah ditegur dan dilarang individu terbabit.

“Mangsa kemudian dipegang beberapa individu, manakala seorang lagi dipercayai menyalakan pemetik api ke arahnya dengan tujuan menakutkan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Heryan berkata, sebahagian kejadian itu dirakam menggunakan telefon bimbit sebelum dikongsikan menerusi WhatsApp dan kemudiannya tersebar, namun mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Menurutnya, walaupun keluarga terbabit pada peringkat awal menyelesaikan perkara itu secara baik, polis meneruskan siasatan selepas menerima permintaan supaya tindakan lanjut diambil.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.

“Polis sedang melengkapkan siasatan termasuk merakam percakapan pengadu, mangsa, saksi dan individu terbabit selain menjalankan pemeriksaan di lokasi serta mendapatkan bahan bukti berkaitan.

“PDRM memandang serius sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya, ketakutan atau kecederaan kepada kanak-kanak walaupun dikatakan dilakukan atas alasan bergurau, menakutkan atau mendidik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak tepat atau terus berkongsi rakaman berkenaan kerana kes itu membabitkan kanak-kanak dan masih dalam siasatan.

“Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga diminta sentiasa memantau pergaulan serta aktiviti anak-anak termasuk penggunaan media sosial dan pendedahan kepada tabiat merokok dalam kalangan golongan bawah umur,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dikerumuni beberapa individu sebelum dipegang, manakala seorang lagi dilihat menyalakan pemetik api ke arahnya sehingga mengundang perhatian ramai. – Info X