Search

25 rumah musnah dalam kebakaran Pulau Nunuyan Laut

August 19, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Sebanyak 25 rumah musnah dalam kebakaran di Pulau Nunuyan Laut, dekat sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 3.50 pagi, bagaimanapun hanya sampai ke lokasi pada jam 5.25 pagi.

Katanya, bomba menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi mendapatkan bantuan penyediaan bot untuk membawa anggota bomba dan peralatan operasi ke pulau itu yang terletak 18 kilometer (km) dari balai.

“Seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. Operasi pemadaman menggunakan sumber air terbuka daripada laut.

“Operasi turut berdepan cabaran angin yang kuat sekali gus menyukarkan pergerakan pasukan ke lokasi kejadian. Api juga merebak terlalu cepat,” katanya.

Jimmy berkata, kebakaran hanya dapat dikawal pada jam 5.45 pagi dan pasukan bomba berjaya menyelamatkan 162 buah rumah lain di pulau itu daripada terbakar.

Katanya, pihaknya masih meneruskan kerja pemadaman dan pemantauan bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya serta mengelak risiko kebakaran merebak semula ke kawasan berhampiran. – Info X