Search

Petrol, tong gas, minyak masak tanpa permit dirampas

August 19, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Sebanyak 220 liter petrol, 12 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 340 kilogram (kg) minyak masak dirampas dalam tindakan di Jalan Inderasabah, di sini, semalam.

Rampasan dilakukan selepas individu terbabit gagal menunjukkan sebarang permit memiliki barangan kawalan bersubsidi berkenaan ketika diperiksa Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau.

Kes berkenaan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM104,138.40.

KPDN Tawau sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

KPDN dalam kenyataan berkata, mana-mana individu atau syarikat diingatkan supaya mematuhi perundangan ditetapkan dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan penyelewengan barang kawalan.

Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

KPDN turut menegaskan akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras penyelewengan barang kawalan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang. – Info X