KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata beliau tidak terbabit dalam sebarang rundingan politik di antara Barisan Nasional (BN) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau yang juga Ketua Merinyu Projek Sabah, berkata sebarang rundingan di antara kedua-dua gabungan itu sewajarnya diuruskan oleh kepimpinan kedua-dua pihak melalui saluran yang sesuai.
Kenyataan itu dibuatnya menerusi satu hantaran di Facebook bagi menjelaskan pertemuannya dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pejabat Merinyu Projek Sabah, di sini, pada Selasa.
Jelasnya, pertemuan itu tertumpu kepada perbincangan mengenai usaha memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan, dipantau dengan berkesan dan memberi hasil yang diharapkan rakyat.
Dalam hantaran itu, Salleh membuat penafian mengenai sebarang soal politik atau hubungan BN-GRS menerusi pertemuan berkenaan, sambil menegaskan beliau tidak terbabit dalam sebarang rundingan politik BN-GRS.
“Untuk mengelakkan sebarang salah faham, pertemuan ini tidak menyentuh soal politik atau hubungan BN-GRS.
“Perkara tersebut sewajarnya diuruskan oleh kepimpinan kedua-dua pihak melalui saluran yang sesuai. Saya sendiri tidak terlibat dalam sebarang rundingan politik antara BN dan GRS.
“Tanggungjawab saya adalah membantu Kerajaan Negeri dalam pemantauan dan penyelarasan projek, mengenal pasti masalah atau kelewatan lebih awal serta membantu mempercepatkan tindakan susulan,” katanya.
Sementara itu, Salleh yang juga pemimpin BN negeri berpandangan BN Sabah perlu melihat peranannya berdasarkan realiti politik Sabah hari ini.
Katanya, dengan pengalaman dan kekuatan akar umbi yang ada, BN boleh memainkan peranan yang konstruktif dalam melengkapi GRS serta menyumbang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran, bukan semata-mata mengejar kedudukan dominan.
Bagaimanapun, katanya ia hanya pandangan peribadinya dan beliau menyerahkan soal politik kepada kebijaksanaan kepimpinan parti.
“Tumpuan saya adalah membantu Kerajaan Negeri memastikan pembangunan dilaksanakan dengan baik dan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah,” katanya. – Info X