Search

Selangor kecewakan Sabah pada penentuan emas bola sepak wanita SUKMA

August 20, 2026

Info X Reporters

SELAYANG: Selangor menang 2-0 untuk terus kecewakan Sabah pada aksi penentuan pingat emas SUKMA XXII Selangor 2026 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor mengulangi kejayaan sama seperti SUKMA Sarawak 2024 apabila turut menewaskan Sabah 3-1 pada perlawanan akhir ketika itu.

Bermain di depan lebih 5,000 penyokong sendiri, skuad tuan rumah bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-42 menerusi Tegen Su Yin Butler.

Jaringan itu terhasil selepas S. Tishavani merampas bola daripada kesilapan pertahanan Sabah sebelum melorongkan kepada Su Yin untuk penyudah mudah meletakkan Selangor 1-0 di hadapan pada separuh masa pertama.

Selepas rehat, Su Yin muncul wirawati perlawanan apabila menambah gol kedua pada minit ke-67 bagi memastikan Selangor keluar sebagai juara.

Ia adalah kekalahan kedua Sabah ditangan Selangor di SUKMA ini di mana mereka juga bertemu pada saingan peringkat kumpulan yang turut berpihak kepada Selangor dengan kemenangan 2-1.

Sabah bagaimanapun melepasi saingan peringkat kumpulan sebagai pasukan kedua terbaik selepas menang 3-0 ke atas Wilayah Persekutuan untuk mara ke separuh akhir.

Sabah kemudian mengesahkan tempat ke final dengan kemenangan 1-0 ke atas Pahang pada pusingan separuh akhir.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang hadir menyaksikan perlawanan itu menggesa pemain menjadikan kekalahan berkenaan sebagai pembakar semangat.

“Kalau kamu mahu jadi pemain profesional, teruskan latihan dan disiplin. Mungkin dua tahun akan datang kita boleh memperbaiki kedudukan untuk dapat emas pula,” katanya kepada pasukan selepas majlis penyampaian hadiah.

Nizam turut menegaskan, mengekalkan pingat perak adalah satu pencapaian kerana ia tidak dierolehi dengan mudah.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri KBSK, Datuk Sri Dr Anil Sandhu dan Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Asun.

Sementara itu, cabaran pasukan bola sepak lelaki Sabah pula terhenti di suku akhir selepas tumpas 0-1 kepada Pahang.- Info X