Search

Tujuh tahun berlalu, pemilik akaun akhirnya dicekup

August 20, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Tujuh tahun mungkin lama, namun kes penipuan yang menyebabkan seorang mangsa kerugian RM900 pada 2019 tidak dibiarkan begitu sahaja apabila lelaki dipercayai pemilik akaun yang digunakan dalam kegiatan itu akhirnya dicekup polis, kelmarin.

Suspek berusia 30 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menerusi Ops Kesan Khas 1/2026 bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai diperdaya sindiket menggunakan modus operandi menyamar sebagai pegawai polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, mangsa yang terpedaya kemudian membuat pindahan wang seperti diarahkan sehingga mengalami kerugian RM900.

“Suspek dipercayai berperanan sebagai pemilik akaun yang digunakan dalam transaksi berkenaan sebelum berjaya dikesan dan ditahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan panggilan individu yang mendakwa sebagai pegawai penguat kuasa atau wakil institusi kewangan serta tidak membuat pindahan wang ke akaun tidak dikenali atas arahan melalui telefon.

Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM), maklumat perbankan atau akaun bank kepada mana-mana individu sama ada dikenali atau tidak.

“Tindakan itu bagi mengelakkan akaun milik sendiri disalahgunakan pihak tertentu sebagai akaun keldai atau bagi menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.

“Sebarang keraguan perlu disemak menerusi saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya. – Info X