Search

111 warga asing ditahan dalam Ops Sapu

August 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 111 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi Ops Sapu yang dilaksanakan serentak di Kota Kinabalu, Sandakan dan Kudat selama dua hari bermula pada Selasa lalu.

Operasi pada 18 dan 19 Ogos itu menyaksikan seramai 224 individu diperiksa dengan mereka yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat pas.

Di Kota Kinabalu, seramai 66 warga asing ditahan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 153 individu.

Tangkapan membabitkan 60 warga Filipina terdiri daripada 13 lelaki, 18 wanita dan 29 kanak-kanak, selain enam warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita.

Sementara itu, operasi di Sandakan membabitkan pemeriksaan terhadap 35 individu dengan 27 daripadanya ditahan.

Mereka terdiri daripada 26 warga Filipina iaitu tujuh lelaki, lima wanita dan 14 kanak-kanak, selain seorang lelaki warga Indonesia.

Di Kudat pula, 36 individu diperiksa dengan 18 warga Filipina ditahan, terdiri daripada lapan lelaki, tiga wanita dan tujuh kanak-kanak.

Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan tindakan lanjut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

JIM Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.

Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta diminta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan berkenaan menerusi saluran rasmi JIM. – Info X