Search

Hibiscus Petroleum semai kesedaran generasi pelindung bakau masa depan

August 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hibiscus Petroleum terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar dan penglibatan komuniti menerusi Kempen Kesedaran Pemuliharaan Hutan Bakau 2026 di Darau Wetland Eco Tourism, Menggatal, dekat sini.

Program yang berlangsung hari ini menghimpunkan kira-kira 150 peserta terdiri daripada pelajar universiti, pensyarah, anggota komuniti setempat serta kakitangan Hibiscus Petroleum bagi mengikuti pelbagai aktiviti pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan.

Para peserta memberi tumpuan kepada demonstrasi oleh kakitangan Darau Wetland Eco Tourism.

Kempen berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS) bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem bakau dalam melindungi kawasan pesisir pantai, menyokong biodiversiti dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Ketua Aset Operasi Sabah Hibiscus Petroleum, Ahmad Fazmee Baharuden, berkata syarikat itu kekal komited menyokong inisiatif kelestarian yang memberi manfaat kepada komuniti setempat dan generasi akan datang.

“Bakau merupakan antara ekosistem semula jadi yang paling bernilai.

“Menerusi kempen ini, kami berharap dapat menyemai penghargaan yang lebih mendalam terhadap hutan pesisir ini serta memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menjadi penyokong dan penjaga alam sekitar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran.

Ketua Aset Operasi Sabah Hibiscus Petroleum, Ahmad Fazmee Baharuden (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Presiden Sabah Wetlands Conservation Society, Datuk Zainie Abdul Aucasa.

Sementara itu, Presiden Sabah Wetlands Conservation Society, Datuk Zainie Abdul Aucasa, berkata kerjasama antara komuniti, organisasi dan sektor swasta mampu memberikan impak signifikan terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hibiscus Petroleum atas sokongan berterusan terhadap inisiatif pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan, selain berharap kempen itu dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk bersama-sama memelihara tanah lembap dan habitat bakau di Sabah.

Para pelajar universiti menanam anak pokok bakau.

Kempen berkenaan meneruskan kejayaan program sama yang julung kali dianjurkan tahun lalu, yang berjaya membabitkan lebih 160 pelajar sekolah menengah dan universiti, guru serta pensyarah dari sekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Papar.

Program tahun ini berlangsung di Darau Wetland Eco Tourism, Kampung Darau, Menggatal, iaitu destinasi ekopelancongan berasaskan komuniti yang terkenal dengan ekosistem bakau dan sungainya.

Sepanjang program, peserta mengikuti sesi pendidikan berkaitan pemuliharaan tanah lembap, biodiversiti dan perlindungan alam sekitar yang disampaikan pakar daripada SWCS serta Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah.

Hibiscus Petroleum turut mengadakan sesi perkongsian mengenai komitmen syarikat terhadap penjagaan alam sekitar, khususnya dalam pelaksanaan operasi hariannya.

Kakitangan Hibiscus Petroleum dan pegawai Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah bergambar di tapak penanaman.

Antara pengisian utama kempen ialah aktiviti penanaman pokok bakau, yang memberi peluang kepada peserta menyumbang secara langsung kepada usaha pemuliharaan menerusi penanaman anak pokok di kawasan pemulihan terpilih dalam kawasan tanah lembap berkenaan.

Ahmad Fazmee turut merakamkan penghargaan kepada SWCS dan Darau Wetland Eco Tourism atas kerjasama serta komitmen dalam menjayakan kempen berkenaan.

Beliau berkata, menerusi inisiatif seperti Kempen Kesedaran Pemuliharaan Hutan Bakau, Hibiscus Petroleum berharap dapat melahirkan generasi baharu duta alam sekitar yang berpengetahuan, berdaya upaya dan komited dalam memelihara ekosistem bakau unik Sabah untuk tahun-tahun akan datang.- Info X