Search

Lebih 500 bekas ahli STAR, Warisan dan KDM sertai PGRS Tambunan

August 23, 2026

Info X Reporters

TAMBUNAN: Lebih 500 bekas ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bertindak keluar parti untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tambunan pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, kira-kira 300 adalah bekas ahli dari enam cawangan STAR Tambunan yang diketuai bekas Ketua Kempennya, Patricia Yusuf, diikuti seramai 120 bekas ahli Warisan diketuai Muhadi Amin yang juga antara pejuang awal parti itu di Tambunan, manakala bakinya adalah bekas ahli KDM.

Borang keahlian masing-masing diserahkan kepada Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Datuk Victor P Paut pada satu majlis di Kampung Tondulu, di sini, pada Sabtu.

Mengulas perkembangan itu, Patricia berkata keputusan meninggalkan parti masing-masing dibuat selepas hilang keyakinan terhadap hala tuju dan kepimpinan parti terdahulu.

Katanya, mereka juga melihat prestasi baik kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan komitmen kepimpinan PGRS Tambunan sebagai antara faktor mendorong mereka menyertai parti itu.

Beliau berkata, rakyat perlukan pemimpin yang sentiasa bertanggungjawab, prihatin dan bersedia bersama masyarakat, terutama ketika berdepan kesukaran serta memerlukan bantuan.

“Secara peribadi, saya melihat bagaimana komited dan prihatinnya kepimpinan Kerajaan Negeri serta kepimpinan PGRS Tambunan yang sentiasa ‘turun padang’ untuk bertemu, mendengar keluhan dan keperluan rakyat.

“Maksudnya, sanggup bersama masyarakat pada waktu susah dan senang. Ketika masyarakat memerlukan seorang pemimpin untuk hadir bersama mereka, dia ada waktu untuk itu.

“Itu yang menarik perhatian saya serta rakan lainnya untuk menyertai parti ini,” katanya.

Mengulas sama ada tindakan kumpulan itu akan menjejaskan STAR sebagai parti dominan di Tambunan, Patricia percaya penghijrahan lebih 300 ahli parti itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada STAR dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan PGRS Tambunan.

Perkembangan itu, katanya dijangka menjadi permulaan kepada lebih ramai ahli STAR dan parti lain untuk menyertai PGRS, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Sekiranya semua bersatu hati, saya yakin mungkin ada ‘goncangan’ berlaku dalam STAR selepas ini,” katanya.

Beliau turut bertekad akan membantu memastikan GRS menguasai kawasan Parlimen Keningau selepas ini.

Sementara itu, Muhadi berkata, beliau dan rakan-rakan memilih PGRS kerana percaya hanya kerajaan yang kukuh mampu memastikan agenda pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, GRS dilihat mempunyai kemampuan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat kerana mempunyai kuasa pentadbiran bagi melaksanakan pembangunan.

“Mereka (Warisan) tidak boleh buat apa-apa sama ada untuk memajukan Sabah ataupun membela rakyat kerana tidak ada kuasa.

“Kalau sekadar bercakap saja tiada guna kerana apapun perlukan kuasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan pendekatan kepimpinan PGRS Tambunan yang sentiasa turun padang dan mendekati rakyat turut menarik minatnya menyertai parti itu.

Katanya, rakyat kini mahukan pemimpin yang bukan sekadar berada di pejabat, sebaliknya sanggup masuk ke kampung bagi meninjau sendiri masalah dan keperluan masyarakat.

“Kita mahu pemimpin yang sentiasa turun padang, bukan sekadar duduk di pejabat tetapi tidak masuk kampung untuk meninjau keperluan rakyat. Mana-mana rakyat pun tidak mahu ada pemimpin seumpama itu,” katanya.

Majlis yang berlangsung di Dewan Terbuka Angkangon Tondulu itu menyaksikan penyerahan borang keahlian PGRS dari 12 kampung atau cawangan yang terlibat iaitu Kipaku, Mukim Kirokot, Nupakan, Dalab Lintuhun, Toboh, Bambangan, Lintuhun, Tombotuon, Rompon, Kalasasan Mogong dan Molout Sunsuron.-Info X