Search

Pekerja kontraktor maut terkena renjatan, Sabah Electricity beri kerjasama penuh siasatan

August 23, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Sabah Electricity memberi jaminan akan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menyebabkan seorang pekerja kontraktor meninggal akibat terkena renjatan ketika melakukan kerja menukar tiang, semalam.

Sabah Electricity dalam kenyataannya berkata, semua kerja berkaitan di lokasi berkenaan sudah dihentikan sementara sehingga siasatan selesai.

Menurut kenyataan itu, insiden berkenaan turut menyebabkan seorang lagi pekerja mengalami kecederaan, namun kini berada dalam keadaan stabil.

“Sabah Electricity merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta simpati kepada pekerja yang cedera.

“Kami memandang serius kejadian ini dan akan memastikan aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan oleh semua pihak termasuk pekerja kontraktor dalam setiap aktiviti kerja dan operasi,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam tadi, pekerja kontraktor berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika melakukan kerja menukar tiang elektrik berhampiran simpang lampu isyarat Taman Mawar, di sini. – Info X