BEAUFORT: Belum sempat polis mendapatkan semula tayar yang dicuri, tiga lelaki dipercayai terbabit dalam dua kes kecurian tayar kereta di Kampung Bingkul dan Kampung Binunuk, di sini, berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek pertama ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort di kawasan tempat letak kereta Bandar Minggo selepas menerima maklumat.
Menurutnya, lelaki itu disyaki terbabit dalam kejadian kehilangan tiga tayar berserta rim di Kampung Bingkul.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan.
“Hasil maklumat diperoleh daripadanya, polis kemudian menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes kecurian tayar di Kampung Binunuk,” katanya.
Beliau berkata, usaha mendapatkan semula barang kes masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sebelum ini, IPD Beaufort memandang serius dua kes kecurian tayar yang dilaporkan berlaku di Kampung Bingkul dan tepi jalan Kampung Binunuk.
Susulan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya meletakkan kenderaan di kawasan selamat serta mempunyai pencahayaan mencukupi, khususnya pada waktu malam.
Champin turut menyeru anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan penduduk setempat meningkatkan rondaan serta pemantauan di kawasan kampung masing-masing. – Info X