Search

Serah kad ATM kepada ‘Ahcai’, wanita ditahan

August 23, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Tindakan seorang wanita menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) berserta kata laluan kepada lelaki dikenali sebagai ‘Ahcai’ membawa padah apabila akaun banknya dipercayai digunakan dalam kes penipuan jualan emas tidak wujud.

Wanita terbabit ditahan polis menerusi Ops Kesan Khas 1/2026 bagi membantu siasatan kes penipuan yang dilakukan melalui Instagram.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek dipercayai pemilik akaun bank yang digunakan untuk menerima transaksi berkaitan kes berkenaan.

Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku pernah menyerahkan kad ATM berserta kata laluan kepada ‘Ahcai’.

“Suspek mendakwa berbuat demikian selepas lelaki berkenaan memberitahu kad itu diperlukan bagi tujuan mendapatkan kelulusan pinjaman.

“Dia kemudian menyedari akaun banknya sudah disekat dan mendakwa tidak mengetahui akaun berkenaan digunakan bagi tujuan penipuan,” katanya.

Champin berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut sedang dijalankan pihak polis.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan kad ATM dan kata laluan atau membenarkan akaun bank digunakan oleh individu lain atas apa juga alasan.

“Tindakan itu boleh menyebabkan akaun sendiri disalahgunakan sebagai medium jenayah penipuan dalam talian,” katanya. – Info X