Search

Terjun laut tinggal rokok seludup RM601,400

August 24, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Individu dipercayai penyeludup sanggup terjun ke laut dan meninggalkan dua bot membawa hampir 300,000 batang rokok tidak bercukai selepas kegiatan mereka dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira 2.20 pagi di Jeti Kampung Sri Aman, Batu 3, di sini, PPM merampas rokok, bot dan enjin dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM601,400.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan terhadap aktiviti mencurigakan dipercayai membabitkan penyeludupan rokok dari negara jiran.

Menurutnya, pasukan menemukan dua bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan untuk membawa barangan seludup.

“Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot menemukan 250,000 batang rokok putih jenama Premium International bernilai RM375,000 serta 48,000 batang rokok kretek jenama Menara Dunia bernilai RM86,400.

“Dua bot gentian kaca dan dua enjin bot Yamaha berkuasa 200HP turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad berkata, individu dipercayai terbabit bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ketika serbuan dilakukan.

Katanya, usaha mengesan mereka tidak dapat diteruskan berikutan keadaan persekitaran yang gelap, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, sebanyak 55 kes mengikut akta sama direkodkan dari Januari hingga Ogos tahun ini membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM7.34 juta serta penahanan 39 individu.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara,” katanya. – Info X