LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun selepas merampas dadah disyaki syabu seberat dua kilogram bernilai kira-kira RM94,000 dalam Op Tapis di kawasan tempat letak kereta Darvel Bay Plaza, Jalan Teratai, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbahrin Ismail, berkata operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan 2,000 gram dadah disyaki syabu sebelum dirampas untuk siasatan lanjut.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 14 yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Dua kenderaan iaitu Proton X50 dan Perodua Axia turut disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dzulbahrin berkata, suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati keputusan negatif dadah.
“Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bekalan, modus operandi serta rangkaian sindiket yang dipercayai terbabit,” katanya.
Beliau berkata, BSJND IPD Lahad Datu akan terus mempergiatkan operasi dan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah berkenaan. – Info X