Search

Kerjasama ketenteraan AS-Filipina, perkembangan di Pulau Balabac perlu dipandang serius – PN Sabah

August 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu memandang serius peningkatan kerjasama dan keupayaan ketenteraan Amerika Syarikat – Filipina di kawasan selatan negara jiran itu, termasuk perkembangan di Pulau Balabac yang dibangunkan sebagai tapak ketenteraan Filipina.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata kedudukan kawasan berkenaan yang berdekatan dengan utara Sabah mendedahkan negeri ini terhadap sebarang kemungkinan ancaman luar, terutama dengan tindakan Filipina yang masih menyuarakan tuntutan ke atas Sabah.

Katanya, perkembangan di sekitar Pulau Balabac dan persaingan kuasa besar di rantau ini sejak kebelakangan ini perlu dilihat sebagai peringatan awal kepada Malaysia untuk memperkukuh keupayaan sendiri, khususnya dalam menjaga keselamatan Sabah.

“PN Sabah menegaskan pendirian bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan kedaulatan negara mesti dipertahankan. Sebarang tuntutan terhadap Sabah hendaklah ditangani melalui saluran diplomatik dan undang-undang yang sah serta berdasarkan kepentingan dan kedaulatan Malaysia.

“PN Sabah juga menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan isu Sabah sebagai bahan politik sempit yang boleh menimbulkan ketegangan di antara rakyat Malaysia dengan rakyat Filipina.

“Pada masa yang sama, rakyat Sabah perlu diberikan penerangan yang tepat mengenai perkembangan geopolitik dan isu tuntutan Sabah supaya tidak mudah dipengaruhi oleh propaganda, maklumat palsu atau sentimen yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

“Tuntasnya, PN Sabah berpandangan perkembangan di sekitar Pulau Balabac mutakhir ini dan persaingan kuasa besar di rantau ini perlu dilihat sebagai peringatan awal kepada Malaysia untuk memperkukuh keupayaan sendiri, khususnya dalam menjaga keselamatan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai itu mengulas usaha mempertahankan kedaulatan Sabah dan Malaysia sejajar perkembangan geopolitik di selatan Filipina, khususnya kerjasama ketenteraan Amerika Syarikat-Filipina dan pembangunan di Pulau Balabac, Filipina.

Usaha itu adalah antara perkara dicadangkan PN Sabah untuk dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjaga dan mempertahankan kedudukan Sabah sebagai wilayah merdeka di bawah Malaysia.

Beliau berkata, rakyat Sabah tidak mahu negeri ini menjadi medan persaingan kuasa besar dan tidak mahu tuntutan terhadap Sabah dipandang ringan, namun sebarang tindakan juga tidak boleh dibuat secara melulu hingga menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara jiran.

“PN Sabah menyeru Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah supaya melihat perkembangan ini sebagai satu peluang untuk memperkukuh Sabah sebagai wilayah yang aman, selamat, makmur dan berdaulat dalam Malaysia,” katanya.

Aliakbar berkata, walaupun Malaysia tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah dan kedudukan Sabah dalam Malaysia adalah muktamad, usaha pihak tertentu di negara itu membangkitkan semula tuntutan berkenaan pada tahun ini wajar dipandang serius.

Katanya, perkembangan tuntutan maritim Filipina pada tahun ini juga mendorong Malaysia mengemukakan bantahan rasmi terhadap negara tetangga itu.

“Dalam keadaan ini, PN Sabah berpandangan bahawa kepentingan Malaysia khususnya keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan rakyat Sabah mesti terus menjadi keutamaan,” katanya.

Dalam hubungan itu, katanya Kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan usaha memperkukuh keupayaan pertahanan dan keselamatan Sabah, khususnya di kawasan pantai timur dan utara Sabah yang berhadapan dengan laluan strategik ke selatan Filipina.

Katanya, ia termasuk peningkatan keselamatan maritim dan kesiapsiagaan semua agensi keselamatan yang dikoordinasi Majlis Keselamatan Negara (MKN), pembangunan infrastruktur keselamatan di kawasan strategik Sabah dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan sempadan sentiasa terjamin.

“PN Sabah berpandangan bahawa pengukuhan pertahanan bukan bertujuan mencetuskan perlumbaan senjata, tetapi sebagai langkah pencegahan dan memastikan Malaysia mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk mempertahankan wilayahnya,” katanya.

Aliakbar berkata, hubungan diplomatik dengan negara jiran itu juga perlu terus diperkukuhkan dengan pendekatan diplomasi yang tegas, matang dan berhemah, termasuk menegaskan pendirian bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia, di samping menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa.

Katanya, dialog keselamatan dengan Filipina dan memperkukuh kerjasama ASEAN juga perlu dilaksanakan, selain mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat, China, Filipina serta negara ASEAN lain tanpa mengorbankan kepentingan nasional.

“PN Sabah menegaskan bahawa ketegasan mempertahankan kedaulatan tidak bermaksud Malaysia perlu mencari permusuhan dengan mana-mana negara. Sebaliknya, diplomasi yang kuat perlu disokong oleh pertahanan yang kukuh dan pendirian negara yang jelas,” katanya.

Tidak ketinggalan, katanya kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap usaha memperkukuh ekonomi di kawasan strategik Sabah, khususnya timur Sabah dan kawasan utara seperti Kudat dan Pulau Banggi.

“Pembangunan infrastruktur, pelabuhan, jaringan komunikasi, ekonomi maritim, perikanan, pelancongan dan industri tempatan perlu diperkasakan supaya kawasan sempadan bukan saja selamat tetapi juga mempunyai ekonomi yang kukuh dan rakyat yang sejahtera.

“PN Sabah berpandangan bahawa penduduk yang sejahtera dan ekonomi yang kukuh menjadi sebahagian daripada benteng keselamatan negara,” katanya. – Info X