KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) mencatat prestasi kewangan yang kukuh berdasarkan agihan dividen berjumlah RM40 juta kepada pemegang saham bagi tahun kewangan 2025.
CIS dalam satu kenyataan, berkata pembayaran dividen itu mencerminkan prestasi kewangan positif yang dicapai syarikat, selain membuktikan komitmen syarikat untuk mengekalkan kecemerlangan operasi, pertumbuhan mampan dan tadbir urus korporat yang baik.
Dividen berkenaan diserahkan Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof, selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat yang berlangsung di Hyatt Regency Hotel, di sini, pada Rabu.
Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim, bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah turut menyaksikan penyerahan dividen kepada pemegang saham syarikat.
CIS berkata, daripada keseluruhan agihan RM40 juta itu, Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) menerima RM19.9 juta, diikuti Sabah Ports Authority (SPA) RM7.9 juta, manakala Tasek Corporation Berhad menerima RM12 juta.
Bagi tahun kewangan 2025, katanya CIS merekodkan hasil jualan sebanyak RM541 juta, dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM81 juta.
Prestasi itu memperlihatkan keupayaan CIS mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dalam menghadapi cabaran industri, di samping terus memberikan nilai dan pulangan kepada pemegang saham.
Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan CIS turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan operasi serta meneruskan strategi pertumbuhan yang mampan.
CIS yakin asas kewangan yang kukuh dan hala tuju strategik yang jelas akan terus menyokong pertumbuhan syarikat dalam jangka panjang, di samping meningkatkan sumbangan berterusan kepada pembangunan ekonomi Sabah.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk AR James Wong Kein Peng; wakil Tasek Corporation Berhad, Stephen Ho Kiam Kong dan Chen Fun Tee; Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Dollyn Aloysius; Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof dan ahli Lembaga Pengarah CIS, Datuk Umar Sarim Saidin. – Info X