Search

Liga Super: Jangan selesa sangat jumpa Pulau Pinang – Garrido

August 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC enggan pemainnya mengambil mudah atau terlalu selesa melayan kunjungan Penang FC dalam perlawanan kedua Liga Super di Stadium Likas, Jumaat ini.

Pengendalinya, Juan Torres Garrido menegaskan kemenangan pertama skuad Sang Badak apabila menewaskan Star City FC 3-1 pada Isnin lalu tidak boleh melekakan mereka.

Tegasnya, pemain Sabah perlu kekal fokus berdepan Pulau Pinang bagi memastikan mereka mencapai sasaran untuk melakar kemenangan kedua pada Jumaat nanti.

Beliau mahu pasukan bimbingannya mengekalkan intensiti, disiplin dan keberanian menghadapi lawan yang disifatkannya sebagai sebuah pasukan berbahaya.

“Kita berpuas hati kerana memulakan musim dengan kemenangan dan berjaya menunjukkan gaya permainan yang kita mahukan, tetapi sekarang kita perlu melihat ke hadapan.

“Pulau Pinang adalah pasukan yang berbeza dan perlawanan ini juga akan menjadi cabaran yang berbeza. Mereka adalah pasukan yang kukuh, tersusun dan berbahaya menerusi situasi bola mati.

“Kita perlu konsisten, agresif dan terus berusaha sehingga ke wisel penamat,” katanya mengulas perlawanan kedua Liga Super 2026 / 2027 yang bakal dihadapi Sabah FC.

Sementara itu, Garrido mengakui tempoh pemulihan yang singkat memerlukan pengurusan pemain yang baik, namun persaingan sengit dalam latihan memberi lebih banyak pilihan untuk mengubah kesebelasan utama mengikut pelan permainan.

“Semua pemain Sabah berlatih dengan baik dan bersaing untuk memulakan perlawanan. Selagi pemain yang masuk dari bangku simpanan mampu memberikan sumbangan, kita mempunyai ruang untuk menyesuaikan kesebelasan utama,” katanya.

Mengenai sasaran enam mata daripada dua perlawanan awal musim, Garrido berkata Sabah mahu menjadi pasukan yang kuat di laman sendiri.

Beliau turut menegaskan proses membangunkan pasukan lebih penting, terutama selepas menurunkan tujuh pemain baharu dalam kesebelasan utama ketika menentang Star City.

“Kita mahu menang tetapi yang paling penting ialah cara kita bermain dan usaha untuk terus membangunkan pasukan ini,” katanya.

Katanya, Sabah hanya memperoleh kelebihan selesa selepas minit ke-89 ketika menentang Star City pada Isnin lalu, sekali gus menegaskan keputusan akhir bukan satu-satunya ukuran prestasi pasukan.

“Jika pemain sekali lagi mampu menerapkan gaya permainan yang berkesan ketika menentang Pulau Pinang nanti, ia akan menjadi satu langkah yang sangat baik untuk skuad Sang Badak,” katanya. – Info X