Search

70 lot kedai bundle musnah terbakar

August 27, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Kira-kira 70 lot kedai menjual pakaian bundle jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.44 pagi sebelum jentera tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

Katanya, kebakaran membabitkan kawasan lot kedai jenis tidak kekal seluas kira-kira 12,000 meter persegi.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 213 meter dengan enam pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera dan pili bomba.

“Api berjaya dikawal pada jam 5.23 pagi. Sebanyak 70 lot kedai musnah sepenuhnya, namun kira-kira 350 rumah dan lot kedai lain berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seramai 16 anggota BBP Tawau dibantu 10 anggota Bomba Komuniti terbabit dalam operasi berkenaan.

Katanya, operasi turut mendapat bantuan 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi ditamatkan pada jam 7.42 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X