Search

Pegawai trafik udara maut, motosikal terperosok bawah kereta

August 27, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang Pegawai Trafik Udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Tawau maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terjatuh dan terperosok di bawah sebuah Toyota Camry di Batu 3, Jalan Apas, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 55 tahun mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Ambulans Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Jusoh, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terbabit bergerak dalam arah sama.

Katanya, Toyota Camry dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun dari Kampung Titingan menuju Batu Payung, manakala motosikal Yamaha RXZ ditunggang mangsa dari Bandar Tawau menuju Taman Millenium.

“Ketika Toyota Camry berada di kawasan lampu isyarat Batu 3 yang bertukar daripada merah kepada hijau, pemandu meneruskan perjalanan secara perlahan.

“Pada masa sama, motosikal ditunggang mangsa berada di sebelah Toyota Camry sebelum dipercayai hilang keseimbangan akibat keadaan permukaan jalan yang tidak sama aras,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata, pemeriksaan awal mendapati lorong sebelah kanan jalan baru diturap dan mempunyai aras lebih tinggi berbanding lorong sebelah kiri yang masih belum diturap.

Menurutnya, keadaan itu dipercayai menyebabkan mangsa hilang keseimbangan sebelum terjatuh di hadapan Toyota Camry.

“Pemandu Toyota Camry tidak sempat membrek menyebabkan mangsa bersama motosikalnya terperosok di bawah bahagian hadapan kenderaan.

“Pemandu Toyota Camry tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau dan bedah siasat dijadualkan pada jam 9 pagi hari ini di Jabatan Forensik Hospital Tawau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Joseph Jelian di talian 016-806 7272 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X