Search

Pemandu tertidur, penumpang maut kereta terbalik dalam parit

August 27, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita warga Indonesia maut selepas kereta Proton Saga dinaiki terbabas, melanggar pokok sebelum terbalik ke dalam parit di Batu 16, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.26 petang itu, mangsa berusia 24 tahun tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kemalangan berlaku ketika Proton Saga terbabit dipandu seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun dari Semporna menuju ke Tawau.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tertidur ketika memandu sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan.

“Kenderaan itu kemudian melanggar sebatang pokok sebelum terbalik ke dalam parit.

“Pemandu mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tengkuk, manakala penumpang mengalami kecederaan pada muka, badan dan dada serta tercampak keluar dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan, namun penumpang berkenaan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam.

Menurutnya, siasatan awal turut mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala kereta berkenaan adalah milik rakannya.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan serta mengenal pasti keseluruhan keadaan yang membawa kepada kejadian,” katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan diri cukup rehat sebelum memulakan perjalanan.

“Sekiranya berasa mengantuk ketika memandu, berhenti di lokasi selamat dan berehat terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Joseph Jelian di talian 016-806 7272,” katanya. – Info X