Search

Lelaki dipenjara 36 bulan kerana memiliki beruk, tenggiling

August 27, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki dipenjara masing-masing 36 bulan dan 24 bulan selepas mengaku bersalah memiliki dua jenis hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis.

Tertuduh, Jufrie Abu, 42 berdepan pertuduhan memiliki seekor beruk (Macaca nemestrina) dan seekor tenggiling (Manis javanica) ketika diperiksa Jabatan Hidupan Liar Sabah di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau-Semporna pada kira-kira jam 11 malam, 10 Jun lalu.

Kedua-dua spesies hidupan liar itu dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan pemilikan tanpa kebenaran yang sah adalah satu kesalahan.

Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman 36 bulan penjara bagi pertuduhan memiliki tenggiling dan 24 bulan penjara bagi pertuduhan memiliki beruk.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman dijalankan serentak bermula dari tarikh sabitan.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Primus Lambut.

Sementara itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang memiliki atau mengendalikan hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran yang sah.

Jabatan itu mengingatkan orang awam supaya tidak memiliki atau memperdagangkan hidupan liar dilindungi secara haram dan hendaklah menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti itu kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah. – Info X