LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis.
Tertuduh berumur 61 tahun itu didakwa merogol anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 12 tahun tiga bulan, iaitu pada Februari tahun lalu.
Bekas pekerja kilang itu membuat pengakuan bersalah pada Khamis selepas pihak pendakwaan memanggil enam saksi untuk memberi keterangan pada Rabu, iaitu hari pertama perbicaraan kes tertuduh.
Hakim Suhailla Selag kemudian mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapinya sebelum menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini dan 10 sebatan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak kandungnya di sebuah rumah di Kunak, kira-kira jam 11 malam pada Februari tahun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain hukuman itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan di bawah Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sepanjang tempoh tahanannya.
Tertuduh juga diperintah berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara, mengikut Seksyen 27 akta sama.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X