Search

Menyamar penguat kuasa, minta RM1,500 daripada warga asing

August 28, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Helah dua lelaki menyamar sebagai pegawai penguat kuasa terbongkar selepas mereka gagal menunjukkan kad kuasa ketika dipercayai cuba memeras ugut seorang warga asing di Kampung Koidupan Sugud, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam itu, kedua-dua suspek berusia 19 dan 28 tahun memakai pakaian menyerupai seragam sebuah agensi penguat kuasa sebelum meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek kemudian mendakwa mangsa melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan pasport.

“Kedua-dua suspek dipercayai meminta bayaran RM1,500 daripada mangsa kononnya bagi menyelesaikan kesalahan berkenaan.

“Bagaimanapun, apabila diminta menunjukkan kad kuasa, mereka tiba-tiba cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek berjaya ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis turut merampas beberapa helai pakaian menyerupai seragam sebuah agensi penguat kuasa yang dipercayai digunakan kedua-dua suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan serta menyamar sebagai penjawat awam.

“Sabit kesalahan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, suspek boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau didenda atau disebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya.

Sammy berkata, Seksyen 170 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.

“Sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada polis,” katanya. – Info X