KOTA KINABALU: Angin kuat yang melanda sekitar bandar raya ini mengakibatkan 18 kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi sejak petang hingga lewat malam tadi.
Kejadian itu menyebabkan beberapa laluan terhalang, kabel telekomunikasi terjejas, manakala tiga kenderaan tersangkut selepas dihempap pokok tumbang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima laporan pertama pada 7.36 malam dan panggilan kecemasan terus diterima sehingga 11 malam.
“Sebanyak tiga pasukan digerakkan bagi menangani semua kejadian berkenaan, membabitkan dua pasukan dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu dan satu pasukan dari Pusat Kawalan Operasi Unit Sulaman.
“Operasi keseluruhan membabitkan dua pegawai dan 13 anggota yang ditugaskan memotong serta mengalihkan pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, antara kawasan terjejas ialah Menggatal, Kepayan, Sembulan, Inanam, Likas, Iramanis, Jalan Damai dan Jalan Gudon.
Katanya, dalam kejadian di Pusat Pengembangan Akuakultur Sabah, Menggatal, sebatang pokok tumbang menghempap deretan kenderaan di kawasan parkir sehingga menyebabkan tiga kenderaan tersangkut.
“Di Hartamas Heights, Jalan Kepayan Kobusak pula, sebatang pokok mata kucing setinggi bangunan dua tingkat tumbang di hadapan sebuah apartmen.
“Pokok berkenaan turut terkena kabel telekomunikasi dan menghalang laluan yang digunakan kira-kira 200 penghuni.
“Empat anggota lengkap memakai peralatan perlindungan diri menjalankan kerja pemotongan menggunakan tiga gergaji berantai,” katanya.
Beliau berkata, pokok berkenaan berjaya dipotong dan dialihkan sepenuhnya sebelum operasi di lokasi itu selesai pada 9.06 malam.
Mengulas lanjut, Aizex berkata, kejadian pokok tumbang turut dilaporkan di hadapan SK Sembulan, Klinik Inanam, Lorong 19 Kampung Warisan, Radiant Tower A di Likas, Iramanis Centre, Sekolah Menengah Sabah Tshung Tsin, Stadium Likas dan Taman Cerah, Jalan Gudon.
Katanya, anggota APM bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengalihkan pokok tumbang, membuka semula laluan serta memastikan kawasan terjejas selamat untuk orang ramai.
“Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dalam semua kejadian berkenaan,” katanya. – Info X