Search

Aksi awal Liga Super bukan ujian sebenar Sabah FC

August 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua perlawanan awal Liga Super bukan ujian sebenar buat Sabah FC, sebaliinya cabaran besar bakal tiba Rabu depan pada pertemuan dengan Selangor FC bagi perlawanan Piala FA di Stadium Likas.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Jurulatihnya, Juan Torres Garrido menyifatkan keupayaan sebenar pasukan yang dipimpinnya pada musim ini akan diuji pada perlawanan besar itu nanti.

Beliau mengakui, selepas dua kemenangan perlawanan awal aksi Liga Super iaitu menentang Penang City malam tadi dan Star City FC pada Isnin lalu, masih banyak yang perlu diperbaiki pasukannya.

“Sentiasa ada banyak perkara yang perlu diperbaiki. Ini baru perlawanan kedua dalam Liga Super dan selepas ini kita mempunyai perlawanan yang sukar pastinya menentang Selangor.

“Kita lihat bagaimana prestasi Sabah FC menentang mereka nanti dan kita akan cuba belajar selepas setiap perlawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan Sabah menentang Penang di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Sabah mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan Penang 2-0 dalam perlawanan yang sedikit terganggu disebabkan keadaan padang kurang selesa berikutan hujan lebat dan berangin.

Garrido bagaimanapun berharap anak buahnya dapat mengekalkan rentak permainan yang baik dalam dua perlawanan sebelum ini pada pertemuan dengan Selangor itu nanti.

Beliau juga yakin perlawanan itu bakal menjadi tumpuan peminat dan penyokong bola sepak Sabah yang mahu melihat keupayaan Sang Badak berdepan pasukan besar seperti Selangor.

“Saya rasa selepas dua perlawanan ini lebih ramai orang akan datang ke Stadium Likas terutama perlawanan besar yang akan dihadapi Sabah FC nanti.

“Kita berharap cuaca pada perlawanan itu nanti lebih baik berbanding malam ini supaya keadaan padang lebih baik dan kita dapat memberikan persembahan yang baik pada Rabu depan,” katanya.

Mengulas perlawanan malam tadi, Garrido menyifatkan keadaan padang yang becak dan licin menjadikan permainan agak sukar bagi pasukannya berbanding perlawanan pertama sebelum ini.

Katanya, keadaan padang di Stadium Likas perlu diperbaiki supaya tidak menjejaskan permainan walaupun perlawanan diadakan dalam keadaan padang yang basah.

“Kita menjangkakan konteks yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini, tetapi cuaca mengejutkan kami. Jadi, ia tidak mudah dan saya rasa syukur kita mendapat bahagian padang yang lebih baik pada separuh masa pertama dan berjaya mendapat kelebihan.

“Separuh masa kedua, padang sangat teruk, jadi saya harap ia boleh diperbaiki kerana untuk gaya permainan kita, adalah sangat penting untuk mempunyai padang yang baik supaya peminat dapat menikmati persembahan yang menarik,” katanya.

Dua gol Sabah malam tadi masing-masing dijaringkan penyerangnya, Gonzalo Ignacio Di Renzo dan pemain pertahanan, Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim pada minit ke-40 dan ke-53. – Info X