KOTA KINABALU: “Semalam saya belikan mereka durian dan sate sebab itu makanan kegemaran mereka. Saya sangat sedih, tetapi reda dengan apa yang berlaku.”
Demikian luahan Nurwati Bali, 34, ibu kepada dua beradik, Mohd Azrul Abdullah, 6, dan Nana Abdullah, 4, yang ditemukan rentung dalam kebakaran rumah atas air di Numbak, di sini, awal pagi hari ini.
Turut terkorban ialah sepupu mereka, Siti Norfarahdila Mohd Tazea, 8, yang berada bersama dua beradik itu ketika kebakaran berlaku.
Nurwati berkata, sebelum kejadian, dia bersama ahli keluarga lain sedang membuat persiapan bagi majlis perkahwinan sepupunya berhampiran sebuah dewan.
Menurutnya, Mohd Azrul dan Nana pada mulanya turut berada di dewan berkenaan, namun meminta pulang selepas keletihan.

“Mereka kemudian pulang ke rumah saudara yang terletak tidak jauh dari dewan.
“Ketika kebakaran berlaku, saya bersama ahli keluarga cuba menuju ke rumah, tetapi laluan sudah terputus akibat api yang marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Nurwati berkata, ketika itu dia hanya mampu berharap kedua-dua anaknya selamat kerana mereka berada di rumah berkenaan bersama Siti Norfarahdila dan datuk mereka.
“Selepas api berjaya dikawal bomba, saya dan suami bergegas mencari mereka, namun tidak ditemukan.
“Kami kemudian memaklumkan kehilangan mereka kepada pasukan bomba,” katanya.
Sementara itu, bapa Siti Norfarahdila, Mohd Tazea Sandiku, 43, berkata, dia sedang bekerja di Kota Kinabalu ketika dimaklumkan mengenai kebakaran berkenaan.

“Sebaik menerima panggilan daripada keluarga, saya segera pulang.
“Apabila tiba, saya dimaklumkan anak saya turut terkorban sebelum terus ke lokasi mayatnya ditemukan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, polis bersama pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan pencarian di kawasan kebakaran selepas menerima laporan mengenai mangsa yang hilang.

Katanya, tiga mayat kanak-kanak ditemukan di lokasi dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan lanjut termasuk proses bedah siasat serta pengesahan identiti.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.
Terdahulu, kebakaran awal pagi itu memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air merangkumi Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama, manakala tiga kanak-kanak ditemukan rentung. – Info X