Search

Jangan biarkan politik jadi alat balas dendam, sebar tuduhan jahat atau cetus perpecahan – Tun Musa

August 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perpaduan dan keharmonian rakyat menjadi antara kekuatan terbesar Sabah di sebalik kepelbagaian etnik, agama, budaya dan tradisi yang ada di negeri ini.

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata sejak turun-temurun, rakyat Sabah hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan memahami.

Katanya, keistimewaan itu adalah sesuatu yang amat berharga bagi Sabah dan wajib dipertahankan tanpa membiarkan sebarang ancaman daripada menjejaskannya.

“Kita tidak boleh sesekali membiarkan percaturan politik yang keterlaluan, dendam politik, perasaan iri hati atau kepentingan peribadi memecah-belahkan rakyat serta menghakis keamanan dan keharmonian yang telah sekian lama kita bina dan pelihara.

“Perbezaan pandangan politik merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat, namun ia tidak seharusnya bertukar menjadi kebencian, permusuhan atau usaha untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia antara satu sama lain.

“Politik pada asasnya haruslah berteraskan khidmat kepada rakyat dan usaha membina masa depan yang lebih baik. Politik tidak seharusnya dijadikan alat untuk membalas dendam peribadi, menyebarkan tuduhan berniat jahat atau mencetuskan perpecahan demi kepentingan politik,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini.

Tun Musa berkata, dalam era media sosial sekarang, semua perlu semakin berwaspada terhadap maklumat palsu, fitnah serta kandungan yang sengaja direka untuk mencetuskan kemarahan dan kebencian.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, supaya sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan bertindak secara bertanggungjawab dalam menilai apa yang dibaca, dipercayai dan dikongsikan.

“Kebebasan bersuara haruslah dilaksanakan secara bertanggungjawab. Kebebasan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggugat keharmonian, menyemarakkan kebencian atau melemahkan institusi serta nilai-nilai yang melindungi demokrasi dan kedaulatan negara kita,” katanya.

Jelasnya, bagi Sabah, tumpuan harus kekal kepada pembangunan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Sempena memperingati Hari Sabah, marilah kita memperbaharui tekad untuk membina sebuah negeri yang semakin makmur, progresif dan mampu menyediakan peluang yang lebih luas kepada generasi akan datang.

“Kepentingan rakyat mesti sentiasa menjadi teras kepada setiap usaha pembangunan. Pada masa yang sama, kestabilan politik kekal penting bagi masa depan Sabah.

“Kestabilan meningkatkan keyakinan pelabur, menggalakkan pelaburan asing dan domestik, mewujudkan peluang pekerjaan serta menarik bakat dan kepakaran yang diperlukan untuk mengembangkan ekonomi negeri,” katanya.

Katanya, kebebasan dan hak menentukan masa depan sendiri bukan sekadar lembaran penting dalam sejarah, malah ia turut membawa bersama suatu tanggungjawab yang besar.

“Kita bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serta memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah Sabah dan Malaysia yang lebih kukuh, lebih makmur dan lebih harmoni daripada apa yang kita nikmati pada hari ini,” katanya.

Tun Musa turut memberikan penghormatan kepada pahlawan negara yang mengorbankan nyawa demi mempertahankan tanah air, dan semua yang berjuang serta berkorban demi kebebasan dan keamanan.

“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota pasukan keselamatan negara yang terus berwaspada dalam melindungi sempadan negara daripada sebarang pencerobohan serta mempertahankan keselamatan, keutuhan wilayah dan kedaulatan negara kita.

“Marilah kita menghargai segala yang kita miliki, menolak segala usaha yang mahu memecah-belahkan kita dan terus berganding bahu tanpa mengira kaum, agama, budaya mahupun fahaman politik demi kemajuan Sabah dan kemakmuran Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Tun Musa mengajak rakyat Sabah menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah dengan rasa bangga dan penuh kesyukuran serta kesedaran yang diperbaharui mengenai betapa berharganya keamanan, kebebasan dan kedaulatan yang dinikmati.

“Bagi rakyat Sabah, tanggal 31 Ogos mempunyai makna yang amat istimewa. Ketika kita menyambut Hari Kebangsaan bersama seluruh rakyat Malaysia, kita turut memperingati Hari Sabah, yang menandakan satu lembaran penting dalam sejarah Sabah serta mengingatkan kita akan perjalanan generasi terdahulu dalam mencorakkan masa depan negeri ini dan kedudukannya dalam Malaysia.

“Kedua-dua sambutan ini memberi kita peluang bukan sahaja untuk mengimbas kembali sejarah, tetapi juga untuk merenungkan tanggungjawab yang kita pikul dalam memelihara keamanan, perpaduan dan kemakmuran yang telah dibina dengan penuh usaha dan pengorbanan oleh generasi sebelum kita,” katanya. – Info X