Search

Lebih 200 meriahkan Sunset Briskwalk KupiKupi FM

August 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih 200 peserta pelbagai peringkat usia memeriahkan Sunset Briskwalk Bersama KupiKupi FM di Tanjung Lipat, di sini, hari ini.

Berlatarbelakangkan panorama matahari terbenam, peserta berjalan santai bersama keluarga dan rakan sambil mengibarkan bendera Sabah bagi menyemarakkan sambutan Hari Sabah 2026.

Pengurus Projeknya, Ronald Raynel Florence berkata, acara bertemakan ‘Jom Sihat Bersama!’ itu dianjurkan KupiKupi FM secara percuma dan terbuka kepada orang ramai.

Menurutnya, program berkenaan menggabungkan elemen kesihatan, komuniti, patriotisme dan gaya hidup aktif sempena sambutan Hari Sabah.

“Program ini bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, selain meluangkan masa berkualiti bersama keluarga serta rakan.

“Ia juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan KupiKupi FM dengan komuniti Sabah menerusi aktiviti santai dan menyeronokkan,” katanya.

Program bermula dengan sesi memanaskan badan sebelum peserta memulakan briskwalk di sekitar Tanjung Lipat.

Kemeriahan diteruskan dengan sesi zumba, aktiviti santai dan sesi bergambar bersama warga kerja serta penyampai KupiKupi FM.

Ketua Pegawai Eksekutif KupiKupi FM, Lester Calvin Miol turut turun padang memeriahkan aktiviti berkenaan bersama penyampai Felix Agus, Dee Dee dan Boy Vanz.- Info X