KOTA KINABALU: Polis menumpaskan dua kegiatan pengedaran dadah susulan rampasan 51.624 kilogram syabu bernilai RM2.581 juta dalam operasi berasingan di Papar dan Penampang.
Operasi pada 19 dan 25 Ogos lalu itu membawa kepada penahanan enam individu terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dalam operasi pertama di Papar, seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun ditahan di sebuah rumah di Skim Penempatan Kinarut kira-kira 9.40 pagi, 19 Ogos lalu.

Katanya, suspek cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan dan pemeriksaan menemukan 12 paket plastik lut sinar disyaki mengandungi syabu seberat 603.90 gram.
“Serbuan susulan kira-kira 12.05 tengah hari di tepi jalan Skim Penempatan Kinarut membawa kepada penahanan dua wanita.
“Seorang daripada wanita berkenaan ditahan selepas turun dari sebuah kenderaan bersama beg hitam yang mengandungi bungkusan plastik lut sinar disyaki syabu seberat 1.02 kilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil.
Jauteh berkata, siasatan lanjut dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang dipercayai pembekal dadah di One Place Mall, Putatan.

“Keseluruhan rampasan dalam operasi itu ialah 1.624 kilogram syabu bernilai RM81,200 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Papar.
“Dadah berkenaan dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 2,914 penagih bagi sekali penggunaan,” katanya.
Menurutnya, keempat-empat suspek direman sehingga 2 September ini bagi membantu siasatan.
Katanya, saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan semakan turut mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau.
Dalam operasi berasingan di Penampang pada 25 Ogos lalu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 45 dan 46 tahun.
Jauteh berkata, operasi kira-kira 4.20 petang itu dijalankan hasil maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah di hadapan sebuah premis di Jalan Bundusan, Beverly Hills Plaza.
“Pemerhatian polis mendapati dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum seorang suspek dilihat memindahkan beberapa bungkusan plastik dari sebuah kenderaan ke kenderaan lain.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan pertama menemukan 28 bungkusan plastik disyaki syabu seberat 28 kilogram,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 22 bungkusan lagi disyaki mengandungi syabu seberat 22 kilogram ditemukan dalam kenderaan kedua.
“Keseluruhan rampasan dalam operasi itu ialah 50 kilogram syabu bernilai RM2.5 juta.
“Dadah berkenaan dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 1.43 juta penagih bagi sekali penggunaan,” katanya.
Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka direman sehingga 2 September ini.
Katanya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod kesalahan sama.
“Semua tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X