Search

Dadah RM120.43 juta dilupuskan, JSJN Sabah terus perangi sindiket

September 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dadah bernilai RM120.43 juta membabitkan 5,732 kertas siasatan akan dilupuskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah tahun ini.

Pelupusan membabitkan pelbagai jenis dadah dengan berat keseluruhan melebihi satu juta gram itu dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan JSJN Sabah dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah.

Katanya, barang kes yang akan dilupuskan membabitkan 370,223.042 gram syabu, 2,970.17 gram ganja dan 24,104.15 gram kokain.

“Turut dilupuskan ialah 14.95 gram Eramin 5, 0.2 gram heroin, 3,518.04 gram ketamin serta 609,669.2 gram mitragynine.

“Semua barang kes akan dilupuskan mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, pelupusan barang kes dadah bagi Kontinjen Sabah dilaksanakan di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurutnya, proses itu bermula selepas arahan pelupusan diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya sebelum barang kes dihantar ke tapak pelupusan Kualiti Alam Sdn Bhd.

“Proses pembungkusan dan pergerakan barang kes bermula hari ini sebelum dihantar dari Pelabuhan Sepanggar ke Pelabuhan Klang, Selangor.

“Kapal dijangka tiba pada 11 September, manakala pelupusan rasmi dijadualkan pada 14 September ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jauteh berkata, JSJN Sabah terus mempergiatkan operasi membanteras pengedaran dadah menerusi pelaksanaan Ops Bayu secara berterusan sepanjang tahun ini.

Katanya, seramai 41 individu ditahan menerusi Ops Bayu 1 hingga Ops Bayu 14.

“Daripada jumlah itu, 20 individu didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seorang lagi mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Tiga individu dikenakan tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), dua dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan, 13 dibebaskan tanpa syarat dan dua lagi masih direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama JSJN Sabah dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) turut membuahkan hasil.

Menurutnya, sebanyak 50 kes dikesan di Sabah dan sebahagian Sarawak sejak Julai 2025 hingga kini, dengan 31 lelaki dan lima wanita ditahan.

“Rampasan membabitkan 60,603 gram methamphetamine, 55,848.87 gram ganja, 2,502.16 gram ketamin dan 191.82 gram ekstasi.

“Sebanyak 1,020.42 mililiter cecair vape turut dirampas, selain tindakan sitaan harta,” katanya.

Jauteh berkata, siasatan mendapati dadah berkenaan dihantar dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kelantan, manakala penerima utamanya berada di Kota Kinabalu, Penampang serta Tawau.

Katanya, sindiket menggunakan pelbagai barangan untuk menyembunyikan dadah, termasuk bungkusan gelembung, mainan kanak-kanak, kasut terpakai, pakaian, botol minuman, mesin pencetak, kartrij pencetak serta makanan kering.

“Polis turut mengesan penggunaan butiran pengirim dan penerima palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.

“JSJN Sabah akan terus mempergiatkan usaha memutuskan rantaian pengedaran dadah, selain memastikan semua barang kes dilupuskan mengikut prosedur undang-undang,” katanya. – Info X