Search

172 PATI warga Filipina dihantar pulang

September 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 172 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dipindahkan ke negara asal menerusi laluan laut dalam Program Pemindahan Tahanan Asing Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.

JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua tahanan berkenaan dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan feri komersial.

Katanya, kumpulan itu terdiri daripada 129 lelaki dewasa, 25 wanita dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 63 tahun.

“Semua kanak-kanak yang menyertai program pemindahan itu diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

“Seorang lelaki warga China turut dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu ke Guangzhou menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Isnin lalu,” katanya.

Menurutnya, pada 27 Ogos lalu, enam lelaki warga China dari Depot Imigresen Tawau dihantar pulang menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou.

“Pada tarikh sama, tujuh lelaki dari Depot Imigresen Kota Kinabalu membabitkan dua warga Pakistan, dua warga India dan tiga warga Vietnam dipindahkan ke negara masing-masing menerusi LTAKK dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

‘Seorang lagi lelaki warga India dari Depot Imigresen Papar turut dipindahkan ke Tiruchirappalli, India, melalui laluan penerbangan sama,” katanya.

JIM Sabah berkata, sehingga kini seramai 4,947 tahanan PATI sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing.

“Jumlah itu membabitkan 3,197 warga Filipina, Indonesia (1,471), Pakistan (120), China (116), Vietnam (21) dan 22 tahanan daripada negara lain.

“Semua tahanan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya.

JIM Sabah turut menyeru masyarakat supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta segera menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan warga asing melalui saluran rasmi jabatan. – Info X