PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kematian teman wanitanya yang dipercayai dipukul selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.
Mangsa berusia 44 tahun sebelum itu dibawa dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 31 Ogos lalu.
Bagaimanapun, wanita berkenaan disahkan meninggal dunia pada malam sama ketika menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang menjalankan siasatan sebelum menahan lelaki tempatan berusia 41 tahun.
“Lelaki berkenaan dipercayai mempunyai hubungan sebagai teman lelaki mangsa.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum wanita itu dipercayai dipukul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian dijalankan BSJD Penampang dengan kerjasama Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Katanya, beberapa barangan kes serta sampel berkaitan turut diperoleh untuk tujuan siasatan dan analisis forensik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.
“Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan mengenai kejadian ini sehingga siasatan lengkap dan proses undang-undang selesai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Hairie Awang Akub di talian 016-8032849 atau tampil di balai polis berhampiran.
“Polis merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama yang diberikan serta menyeru mereka menyalurkan sebarang maklumat berkaitan bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya. – Info X