KOTA KINABALU: Skuad Sang Badak tidak takut untuk berdepan dengan Selangor FC pada perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA di Stadium MBPJ, Selangor pada Rabu depan.
Pengendalinya, Juan Torres Garrido, berkata walaupun berdepan di gelanggang lawan, beliau yakin anak buahnya mampu memberikan persembahan yang baik seperti pada perlawanan pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Tegasnya, walaupun Selangor dianggap pasukan yang lebih baik berbanding Sabah, pemain Sang Badak membuktikan mereka mempunyai persamaan dalam banyak aspek.
“Perasaan saya sepanjang perlawanan malam ini adalah baik. Kita berdepan dengan pasukan yang bagus, yang dikatakan pasukan yang lebih baik berbanding kita.
“Tapi, kita menyamai mereka dalam banyak aspek dan berdepan dengan mereka secara bersemuka. Jadi, kita perlu melakukan perkara yang sama pada aksi kedua.
“Jika tidak, jika kita takut, mereka pasti akan menewaskan kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas, malam tadi.
Perlawanan malam tadi menyaksikan Sabah dan Selangor berkongsi satu mata selepas terikat 2-2 sebagai bekalan untuk ke perlawanan kedua timbal balik nanti.
Mengulas perlawanan malam tadi, Garrido berkata Sang Badak sepatutnya dapat menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan peluang dan cubaan menarik dicipta anak buahnya sepanjang permainan.
“Saya fikir kita sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol hari ini, jadi kita perlu memperbaiki perkara itu. Kita mencipta peluang yang mencukupi dalam permainan terbuka untuk menjaringkan gol.
“Jika kita sedikit lebih bernasib baik, kita boleh menamatkan perlawanan dengan kelebihan,” katanya.
Berikutan itu, katanya beliau perlu melihat semula kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya untuk berdepan perlawanan kedua nanti.
Katanya, anak buahnya bermain dengan baik dan tidak didominasi pasukan pelawat pada perlawanan malam tadi.-Info X