BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 8 Jalan Beaufort – Papar, berhampiran Simpang Lumat Sentral, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerja disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, kemalangan membabitkan motosikal Yamaha NMAX ditunggang mangsa dan Perodua Viva dipandu lelaki tempatan berusia 63 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu masing-masing dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.
“Ketika kejadian, Perodua Viva berkenaan sedang membelok ke kanan untuk keluar dari simpang sebelum dilanggar motosikal mangsa yang bergerak lurus dari arah Beaufort menuju ke Papar.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas permukaan jalan dan mengalami kecederaan serius pada kepala serta badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, Champin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Shazree Hashim di talian 010-2531451 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X