KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido menyifatkan pertemuan dengan Kuching City FC bukan perlawanan yang mudah dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam esok.
Beliau mengakui anak buahnya berdepan cabaran sukar berikutan pencapaian baik pasukan negeri jiran itu pada musim lalu, ditambah kehadiran pemain yang berkualiti pada musim ini.
Katanya, anak buahnya juga kurang rehat kerana terpaksa bermain tiga perlawanan sepanjang minggu ini, menambahkan lagi tekanan dihadapi mereka dalam usaha mengekalkan prestasi dan kualiti permainan.
“Sabah hanya mempunyai tempoh rehat dua hari selepas aksi menentang Selangor FC dalam saingan Piala FA, sebelum perlu kembali beraksi dalam satu lagi perlawanan penting menentang Kuching City.
“Situasi ini tentunya menjadikan aksi Borneo Derby kali ini satu lagi ujian besar buat Sabah, terutama dari aspek kecergasan dan pemulihan pemain.
“Ia juga satu ujian hebat untuk kedua-dua pasukan, tetapi Sabah hadir dalam keadaan yang berbeza kerana baru bermain dua hari lalu ketika menentang Selangor,” katanya mengulas persiapan menghadapi Kuching City.
Sabah berdepan Selangor dalam saingan pertama Pusingan 16 Piala FA yang berakhir dengan kedudukan seri 2-2 pada Rabu lalu, selain melayan kehadiran Penang City dengan keputusan 2-0 dalam aksi Liga Super pada Isnin lalu.
Mengulas lanjut, Garrido menyifatkan Kuching City sebagai pasukan yang hebat, sama seperti Selangor, menjadikan perlawanan esok bukan sesuatu yang mudah walaupun berlangsung di halaman sendiri.
Berikutan itu, beliau mengajak penyokong skuad Sang Badak dan peminat bola sepak di negeri ini supaya memenuhkan Stadium Likas malam esok bagi menghangatkan semangat pemain berdepan Kuching City.
“Sabah memerlukan sokongan padu penyokong untuk menghadapi Kuching City dalam aksi ‘Borneo Derby’ kali ini. Kita amat memerlukan ‘tenaga tambahan’ selepas mengharungi jadual padat.
“Kita perlukan stadium yang penuh untuk memberikan tenaga tambahan yang kami perlukan, membantu kita dalam detik-detik sukar dan bersama-sama menikmati saat-saat yang baik,” katanya. – Info X