Search

133 PATI ditahan dalam 20 operasi di Sabah

September 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 133 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk 27 kanak-kanak, ditahan dalam 20 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh Sabah.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan malam ini berkata, operasi berkenaan dilaksanakan di pelbagai lokasi strategik bermula 27 Ogos hingga 3 September lalu.

Menurutnya, seramai 289 individu diperiksa sepanjang operasi itu sebelum 133 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Jumlah tangkapan membabitkan 97 warga Filipina, terdiri daripada 45 lelaki, 25 wanita, 18 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan ialah 32 warga Indonesia membabitkan 27 lelaki dan lima wanita serta empat lelaki warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan.

JIM Sabah berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik seluruh negeri bagi membanteras kehadiran PATI dan penyalahgunaan kemudahan imigresen.

Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan kepada JIM Sabah menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO). – Info X