SHAH ALAM: Perebutan juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 kian sengit memasuki hari terakhir temasya sukan dwitahunan itu, hari ini.
Setakat 10 malam ini, tuan rumah Selangor terus mendahului carta pungutan pingat dengan 71 emas, 45 perak dan 43 gangsa sekali gus mengatasi sasaran 60 pingat emas diletakkan kali ini serta membuka ruang buat mereka menempa sejarah baharu menggondol juara keseluruhan kali pertama.
Bagaimanapun, juara edisi 2022 Sabah terus menghambat tuan rumah dengan pungutan 60 pingat emas, 41 perak dan 36 gangsa di tempat kedua mengatasi juara bertahan Sarawak di tempat ketiga dengan 45 emas, 28 perak dan 45 gangsa.
Kedudukan Selangor untuk memburu juara keseluruhan masih belum selamat memandangkan 60 pingat emas bakal menjadi rebutan kontinjen bertanding sebelum temasya sukan itu melabuhkan tirainya di Selangor International Trade Centre di sini, malam ini.
Daripada keseluruhan 60 emas ditawarkan pada hari keenam Para SUKMA Selangor 2026, para badminton menawarkan jumlah emas paling banyak, iaitu 13 diikuti para catur (12) dan para renang (11).
Sementara itu, perenang muda berusia 11 tahun dari Selangor, Alysha Aryana Mohd Khairul Azli mencuri tumpuan apabila bukan sahaja memenangi tiga emas malah memecahkan tiga rekod kebangsaan pada aksi di Akuatik Selangor.
Alysha merangkul emas 200 meter (m) gaya bebas wanita S14 (kecacatan intelektual) dengan catatan 2 minit 19.92 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod sendiri, iaitu 2:27.10s tahun ini.
Remaja itu turut meraih emas 100m kuak dada SB14 (kecacatan intelektual) dan mencatat rekod kebangsaan baharu, iaitu 1:24.17s untuk memadam catatan rakan sepasukan Durratun Musfirah Nor Ahmad 1:29.55s juga tahun ini.
Perenang cilik itu juga adalah sebahagian daripada kuartet Selangor yang mengungguli acara 4x100m gaya bebas campuran S14 yang memperbaharui rekod sendiri, iaitu 4:23.89s tahun ini dengan catatan baharu 4:20.93s.
Dalam pada itu, atlet powerlifting Kelantan Wan Nur Azri Wan Azman mempamerkan aksi luar biasa apabila meleburkan rekod kebangsaan sebanyak empat kali berturut-turut untuk memenangi pingat emas kategori melebihi 107 kilogram (kg) lelaki.
Saingan di di Selangor International Trade Centre menyaksikan atlet berusia 29 tahun itu memadam rekod Mohd Fauzan Ramlan dari Sabah (171kg) menerusi angkatan 180kg pada percubaan pertama sebelum memperbaharuinya dengan angkatan 190kg pada percubaan kedua dan 195kg pada percubaan ketiga.
Atlet dari Kota Bharu itu kemudian melengkapkan hari gemilangnya dengan mengangkat bebanan 200kg pada percubaan tambahan.– BERNAMA