TAMBUNAN: Perselisihan faham dan tekanan selepas melalui perceraian dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak membunuh ibu kandungnya menggunakan pisau di Kampung Katagayan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 31 tahun itu baru bercerai dengan isterinya dan dipercayai berdepan tekanan sebelum kejadian.
“Senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu ialah pisau. Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti punca sebenar perselisihan faham antara suspek dan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas selepas pasukan penyiasat dan forensik menjalankan pemeriksaan di lokasi.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Terdahulu, mangsa berusia 56 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan akibat senjata tajam di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan kira-kira jam 2 petang.
Suspek kemudian dikesan dan ditahan penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan dan diserahkan kepada polis. – Info X