SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup 1,020 paket minyak masak bersubsidi selepas menahan sebuah bot di perairan Sungai Tanjung Batu, di sini, awal pagi semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Zon Sandakan, Komander Maritim Ahmad Firdaus Shaari berkata, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 5 pagi ketika pasukan sedang menjalankan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.

Katanya, bot berkenaan dipintas di kedudukan kira-kira 0.01 batu nautika barat laut Sungai Tanjung Batu.
“Semasa pasukan operasi menghampiri bot berkenaan, seorang lelaki yang dipercayai tekong bertindak memecut laju menuju ke sungai sebelum memasuki kawasan bakau dan melarikan diri bagi mengelak ditahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan 60 bungkusan yang mengandungi minyak masak bersubsidi dengan anggaran keseluruhan 1,020 paket,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Firdaus berkata, pemeriksaan turut menemukan dua enjin sangkut Yamaha masing-masing berkuasa 75 dan 85 kuasa kuda.
“Bot bersama muatan berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran sah.
“Kesemua barang rampasan bersama bot yang dianggarkan bernilai RM60,550 dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Firdaus berkata, cubaan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan dalam jumlah kecil menunjukkan mereka sentiasa mencari peluang untuk mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan barang kawalan bersubsidi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi IPMZ Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X