KOTA KINABALU: Prestasi Sabah FC merosot berikutan tiga kekalahan berturut-turut, termasuk dua di gelanggang sendiri dengan yang terbaharu tewas 1-2 di tangan DPMM FC, di Stadium Likas, malam tadi.
Pengendali Sang Badak, Juan Torres Garrido, mengakui persembahan anak buahnya tidak memuaskan terutama pada separuh masa kedua malam tadi, meskipun agak baik pada babak pertama.
“Saya fikir kita bermula dengan baik, tapi kita bolos gol yang sepatutnya tidak berlaku. Saya rasa pasukan agak keletihan selepas melalui tempoh dua minggu yang mencabar.
“Namun, pada separuh masa pertama, pasukan masih mempunyai tenaga, terus melakukan serangan dan berjaya mendapatkan gol penyamaan.
“Pada separuh masa kedua, kita tidak bermain dengan baik. Saya tidak tahu sama ada disebabkan faktor tenaga atau kita terlalu mudah memberi ruang dan akhirnya kita sekali lagi dibolosi.
“Saya fikir apabila ketinggalan, situasinya sama seperti ketika menentang Selangor. Sekali lagi, dari segi mental, kami tidak cukup kuat untuk bangkit selepas ketinggalan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Aksi malam tadi menyaksikan Sabah ketinggalan 0-1 selepas DPMM FC membuka jaringan pada minit ke-13, sebelum dapat disamakan 1-1 pada minit ke-24.
Namun, tuan rumah sekali lagi ketinggalan apabila pasukan lawan menambah jaringan pada minit ke-65 untuk DPMM FC membawa pulang tiga mata dengan kemenangan 1-2.
Kekalahan malam tadi, adalah yang kedua kedua di gelanggang sendiri selepas tewas 0-2 di tangan Kuching City FC pada 5 September lalu.
Sabah juga tewas 2-1 di tangan Selangor FC dalam perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA di Stadium MBPJ pada 9 September lalu.
Ketika kalah menentang Kuching City sebelum ini, Garrido berkata anak buahnya berdepan pasukan yang mempunyai skuad dan bajet yang besar berbanding Sabah FC.

“Kalau saya tidak silap, mereka juga sedang bermain dalam satu pertandingan lain. Jadi, saya tidak akan mengatakan ia adalah perkara biasa untuk kalah, tetapi ia memang perlawanan yang sukar,” katanya.
Katanya, kekalahan di tangan Selangor pada 9 September lalu pula bukan berkaitan dengan pasukan atau sesuatu yang dikaitkan dengan permainan anak buahnya.
“Saya sudah jelaskan sebelum ini mengenai perkara yang menyebabkan perlawanan itu menjadi tidak seimbang dan ia bukan disebabkan pasukan kita atau sesuatu yang berkaitan dengan permainan.
“Tapi hari ini, seperti yang saya katakan, kita bermain dengan buruk pada separuh masa kedua. Selepas melalui tempoh dua minggu yang begitu padat dalam pertandingan, kita tidak mempunyai tenaga pada separuh masa kedua.
“Kita terlalu mudah dibolosi. Mereka (DPMM) mempunyai pemain dan penyerang yang bagus serta mampu menyerang ruang dengan baik dan kita tidak menghalang gerakan serangan balas mereka sebagaimana yang sepatutnya,” katanya.
Kelemahan itu, katanya diambil kesempatan oleh pemain DPMM dan mereka berjaya mengawal permainan untuk mendapatkan jaringan kemenangan di Stadium Likas.-Info X