KOTA KINABALU: Seramai 4,933 pelajar baharu mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi sesi akademik 2026/2027 yang bermula menerusi Majlis Suai Mesra (MSM) di kampus universiti itu, pada Isnin.
Majlis yang disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansur itu, berlangsung dalam suasana meriah bagi menandakan bermulanya kehidupan kampus yang bakal dilalui mahasiswa baharu UMS.
Sempena majlis itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS turut melancarkan Student Digital Information Center (SDIC) dan My Student Development Point (MyDSP 2.0) sejajar usaha memperkukuh ekosistem pembangunan mahasiswa di universiti itu.
Universiti itu menjelaskan kedua-dua inisiatif berkenaan bertujuan memudahkan akses mahasiswa kepada informasi, perkhidmatan dan peluang pembangunan kendiri secara lebih bersepadu.
Pada majlis yang sama, UMS menerusi Inisiatif Bantuan Food Bank UMS menyalurkan sebanyak RM2,000 kepada setiap fakulti dan Kolej Kediaman, termasuk UMS-Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) dan Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Sandakan.
Katanya, sumbangan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) itu bertujuan membantu mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan dan cabaran kos sara hidup, khususnya dalam mendapatkan keperluan makanan harian.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen UMS dalam mewujudkan kampus yang inklusif, prihatin dan berteraskan kesejahteraan mahasiswa, agar keperluan asas tidak menjadi penghalang kepada kelangsungan pengajian,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Dr Raman Noordin dan Pengarah JHEP UMS, Azmi Jumat.
Proses pendaftaran pelajar baharu UMS dilaksanakan selama dua hari pada Sabtu dan Ahad lalu, sebelum disusuli Minggu Suai Mesra (MSM) bermula hari ini (Isnin).-Info X