KOTA KINABALU: Tuntutan Sabah untuk mendapatkan bahagian hasil yang adil menerusi 40 peratus hasil bersih dari negeri ini bukan isu baharu atau tindakan oportunistik.
Menegaskan perkara itu, pemimpin Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek Chua, berkata hak kelayakan hasil 40 peratus untuk Sabah adalah kewajipan Perlembagaan yang sudah termaktub sebelum Malaysia dibentuk lagi.
“Ini bukan rekaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan bagi menjawab pandangan serong bekas menteri Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim berkaitan tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mazliwati berkata, pandangan Zaid di platform Threads bertarikh 14 September 2026 mengenai hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63 itu menimbulkan persoalan penting yang memerlukan pencerahan segera.
“Adakah Zaid cuba membayangkan bahawa PAS tidak akan mengembalikan hak 40 peratus ini kepada rakyat Sabah?,” katanya.
Mengenai tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak pula, Mazliwati berkata, perkara itu adalah untuk imbangan kuasa dan bukannya dominasi.
Katanya, soal perwakilan di Parlimen itu sejajar dengan pengiktirafan kedudukan unik Borneo seperti terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan rundingan pembentukan negara.
“Kuota satu pertiga kerusi Parlimen khas untuk Sabah dan Sarawak direka khusus bagi memastikan suara wilayah Borneo kekal relevan dan dilindungi dalam persekutuan, bukan mahu mendominasi.
“Sabah dan Sarawak hanya mahu niat asal pembentukan Malaysia sebagai perkongsian rakan saksama dihormati sepenuhnya, secara tersurat dan tersirat.
“Kami rendah diri dan tidak tamak dalam menuntut hak. Namun, itu tidak bermakna kami akan bertolak kompromi dan menerima kurang daripada apa yang sepatutnya kami terima,” katanya.
Menerusi hantaran Zaid di media sosial, beliau antara lain mengkritik Sabah atas tuntutan 40 peratus hasilnya dan berkeras pemberian khas RM1 bilion tidak mencukupi.
Beliau juga mengkritik tuntutan Sarawak yang mahu 10 peratus daripada jumlah hasilnya sebagai pemberian khas.
Zaid turut mengkritik tuntutan kedua-dua negeri untuk mendapatkan 35 peratus kerusi Parlimen daripada keseluruhan kerusi di seluruh negara.
“Apa yang pemimpin Melayu buat? Mereka bergaduh di khalayak umum sama ada mereka boleh mempercayai satu sama lain.
“Malah, mereka meminta Terengganu untuk mengadakan pilihan raya negeri dahulu untuk memperlihatkan mereka boleh menjadi rakan yang jujur dalam rundingan kerusi.
“Dengan kumpulan pemimpin Melayu ini, Malaya akan menjadi koloni Sabah dan Sarawak dalam tempoh 20 tahun,” katanya dalam hantaran di media sosial. – Info X