Search

Pemimpin UMNO perlu mohon maaf berhubung ucapan sentuh agama Katolik – Madius, Salleh

September 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua pemimpin Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menyelar ucapan seorang pemimpin UMNO yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Katolik ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU), baru-baru ini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran dan ADUN Tamparuli berkata, sama ada ucapan berkenaan dimaksudkan sebagai jenaka atau sindiran, ia tetap tidak wajar serta menyinggung perasaan umat Katolik dan masyarakat Kristian.

Beliau berkata, Kitab Suci, paderi Katolik dan biarawati tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka berunsur seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan sebuah parti politik utama negara.

“Pemimpin berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 dan memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian,” katanya.

Madius berkata, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekeh atau menyentuh perkara berkaitan agama yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sementara itu, Salleh berkata beliau bersetuju sepenuhnya dengan pendirian Madius berhubung kenyataan berkenaan dan menegaskan bahawa agama serta tokoh agama mesti sentiasa dihormati.

“Apa pun niatnya, jenaka berunsur seksual yang melibatkan biarawati dan paderi Katolik adalah tidak boleh diterima.

“Agama dan tokoh agama mesti sentiasa dihormati,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, pemimpin UMNO berkenaan wajar memohon maaf secara terbuka dan ikhlas kerana isu berkenaan bukan berkaitan kepentingan politik, sebaliknya menyentuh soal rasa hormat, tanggungjawab dan batas yang tidak sepatutnya dilanggar.

Menurutnya, Sabah mempunyai sejarah panjang dalam memelihara kehidupan masyarakat berbilang agama yang hidup bersama dalam suasana saling menghormati.

“Di Sabah, umat Islam, Kristian dan penganut agama lain telah hidup bersama dengan saling menghormati sejak sekian lama.

“Semangat toleransi dan keharmonian ini mesti terus kita pelihara,” katanya.

Salleh turut menegaskan bahawa kesalahan perlu diakui tanpa mengira siapa yang melakukannya.

“Apabila sesuatu itu salah, kita mesti berani menyatakan bahawa ia salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya.-Info X