Search

KDN sasar agensi manfaat AI dalam tugas hakiki – Saifuddin Nasution

September 14, 2026

BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan semua agensi di bawahnya memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam tugas hakiki masing-masing bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu sebahagian daripada pendekatan AI for KDN, KDN for AI yang telah dibangunkan kementerian berkenaan sejak tiga tahun lepas, dengan tahap kesiapsiagaan warga KDN untuk menerima dan menggunakan teknologi berkenaan kini mencapai 75 peratus.

Beliau berkata tempoh tiga tahun dimanfaatkan untuk membantu setiap agensi di bawah KDN menterjemahkan pendekatan berkenaan dalam pelaksanaan tugas hakiki masing-masing seperti Jabatan Pendaftaran, Jabatan Pendaftaranlah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kepimpinan setiap agensi kemudiannya mesti menggerakkan pendekatan ini dari segi pelaksanaannya bagi memudah dan mempercepat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata antara contoh penggunaan AI yang boleh diterapkan PDRM ialah dalam penyediaan draf awal kertas siasatan, susulan kira-kira 400,000 laporan polis dibuat rakyat setiap bulan.

Beliau berkata AI boleh digunakan untuk menghasilkan draf awal kertas siasatan sebelum ia disemak dan disahkan pegawai penyiasat (IO) berpangkat Inspektor untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Penggunaan teknologi AI dalam kertas siasatan bermaksud menghasilkan draf awal kertas siasatan. Tapi sebelum dihantar kepada DPP, IO berpangkat Inspektor ialah pegawai yang bertanggungjawab untuk melakukan verifikasi,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata KDN hari ini melancarkan AI Digital Human sebagai satu lagi inisiatif kementerian menggunakan teknologi AI dalam berinteraksi dengan rakyat.

Beliau berkata AI Digital Human itu membolehkan rakyat mengemukakan pertanyaan berkaitan KDN dalam pelbagai bahasa, sekali gus menjadikan urusan dengan kementerian lebih mudah dan mesra pengguna.

“Tanya sahaja dalam Bahasa Mandarin, bahasa Arab, bahasa Jepun… semua dia (AI) boleh jawab,” katanya.

Terdahulu semasa berucap pada perhimpunan bulanan itu, Saifuddin Nasution berkata penggunaan AI merupakan satu kewajipan bagi kementerian itu dalam memastikan teknologi berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata KDN sebelum ini turut menjadi kementerian pertama menggunakan AI bagi menyediakan draf awal jawapan kepada soalan Ahli Parlimen semasa sidang Dewan Rakyat, sebelum jawapan itu disemak dan disahkan pegawai kementerian.

Saifuddin Nasution berkata penggunaan AI juga boleh diperluas dalam perkhidmatan PDRM, termasuk menyediakan kios di lokasi strategik seperti lapangan terbang bagi membantu pelancong asing membuat laporan polis dalam bahasa masing-masing.

“Kita tak boleh duduk di jalan, membiarkan orang lain yang guna pakai AI ini. Belajar dan guna pakai. Kena terima,” katanya.

Selain AI Digital Human, beliau turut melancarkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Anti-Corruption Strategies (RACS) dan Manual Kawalan Keselamatan dan Operasi RELA (MKKOR).

Mengenai RACS, beliau berkata strategi itu penting bagi memastikan aspek integriti turut diberi perhatian dalam kalangan anggota RELA, walaupun pasukan itu berteraskan khidmat kesukarelawanan.

Katanya, MKKOR pula merupakan manual wajib difahami, dihayati semua anggota RELA yang menjalani modul latihan serta perlu dijadikan sebagai panduan ketika anggota jabatan itu membantu pasukan keselamatan lain dalam tugasan seperti sekatan jalan raya, kawalan kawasan atau tempat larangan dan kawalan sempadan negara.– BERNAMA